Abstrak Persaingan Negeri-negeri Melayu
Persaingan di antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu iaitu Perak,
Johor, dan Selangor berlaku pada tahun 1641 sehingga 1795. Persaingan ini
tercetus didorong oleh keinginan Belanda untuk mengawal perdagangan di Selat
Melaka dan memonopoli perniagaan bijih timah. Persaingan antara Perak dengan Belanda
bermula apabila hasrat Belanda yang ingin memonopoli perdagangan bijih timah di
Perak tidak dipersetujui oleh Sultan Muzaffar Syah. Hal ini demikian kerana,
harga yang ditawar oleh Belanda sangat rendah dan hanya menguntungkan pihak
Belanda sahaja. Oleh itu, Perak terus menjual bijih timah kepada saudagar Cina,
Aceh, dan India yang menawarkan harga yang lebih tinggi. Belanda yang tidak
berpuas hati terhadap Perak bertindak melancarkan beberapa siri kepungan dan
serangan ke atas Perak. Persaingan Johor-Belanda pula bermula berikutan
daripada peristiwa rampasan kapal dagang milik British iaitu kapal Betsy.
Persaingan berlaku apabila hasil daripada muatan kapal tersebut tidak
dibahagikan kepada Yamtuan Muda Raja Haji seperti yang telah dijanjikan dalam
perjanjian lalu Raja Haji bertindak memulangkan perjanjian. Tindakan Raja Haji
memulangkan perjanjian tersebut telah mencetuskan kemarahan Belanda dan
bermulalah persaingan di antara Johor dan Belanda yang berterusan sehinggalah
kemangkatan Raja Haji dan digantikan oleh Yamtuan Muda Raja Ali. Manakala,
persaingan di antara Selangor dan Belanda pula bermula apabila Belanda gagal untuk
menguasai bijih timah di Selangor sehingga menyebabkan timbulnya perselisihan
dengan Sultan Ibrahim yang mana Sultan Ibrahim bertindak menyerang Belanda di
Melaka pada tahun 1782. Sultan Ibrahim kemudiannya meminta bantuan Johor iaitu
daripada bapa saudaranya Yamtuan Muda Raja Haji. Namun begitu, serangan
kerjasama antara Johor dan Selangor tidak dapat menewaskan Belanda lalu Sultan
Ibrahim berundur ke Pahang setelah kemangkatan Yamtuan Muda Raja Haji akibat
kalah dengan Belanda. Pada tahun 1785, baginda melancarkan serangan ke atas
Belanda dan berjaya menawan kembali Kuala Selangor namun Belanda telah
bertindak mengepung Kuala Selangor sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim
menandatangani perjanjian dengan Belanda. Akhirnya, persaingan demi persaingan
yang berlaku antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu berakhir apabila
Belanda menyerahkan pentadbiran Melaka kepada British setelah mengalami
kekalahan dalam Perang Napoleon.
Ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu Baru di Tanah Melayu.
Penubuhan kerajaan Melayu Baru di
Tanah Melayu iaitu Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan adalah
pada abad ke-18. Antara ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu
Baru dapat dilihat dari aspek politik di mana masing-masing negeri diasaskan
oleh keluarga baru yang bukan berasal dari anak tempatan negeri tersebut. Di
Terengganu, Tun Zainal Abidin iaitu putera kepada Bendahara Johor Tun Habib
Abdul Majid telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu. Dengan itu, kerajaan
Terengganu bukan sahaja menandakan tamatnya pemerintah sebelum itu, tetapi juga
bermulanya dinasti Bendahara yang menerajui tampuk pemerintahan. Kerajaan baru
Selangor pula muncul setelah kenaikan Raja Lumu di atas takhta kerajaan
Selangor yang menandakan bermulanya pemerintahan kerajaan Selangor daripada
keturunan Bugis. Seterusnya di Negeri Sembilan, jawatan Yang Di-Pertuan pernah
diwarisi oleh beberapa orang anak Raja dari Minangkabau yang dijemput oleh
pembesar-pembesar Negeri Sembilan untuk menerajui pemerintahan. Antaranya ialah
Raja Kasah, Raja Adil, dan Raja Hitam namun masing-masing gagal untuk
mengasaskan kesultanan Negeri Sembilan sehinggalah kenaikan Raja Lenggang di
atas takhta kerajaan Negeri Sembilan yang menandakan bermulanya pengasasan
Kesultanan Negeri Sembilan. Manakala, di Kelantan pengasasnya ialah Long Yunus
yang berketurunan keluarga bangsawan Patani. Penglibatan bangsawan patani dalam
politik Kelantan dan kemudiannya mengambil alih teraju pemerintahan Kelantan
didorong oleh ikatan perkahwinan oleh
pemerintah sebelumnya. Setelah menamatkan pemerintahan Long Muhammad iaitu
daripada keturunan Tuan Sulong, Long Yunus akhirnya Berjaya menaiki takhta
kerajaan Kelantan sekaligus merupakan pengasas kerajaan Kelantan. Dari aspek
pengiktirafan juga merupakan ciri penting dalam pembentukan Kerajaan Melayu
Baru. Hal ini demikian kerana, pengiktirafan dan kedaulatan kerajaan baru yang
ditubuhkan adalah dari negeri-negeri yang berlainan yang mana Terengganu
mendapat kedaulatan dari Patani, Selangor pula dari Perak oleh Sultan Mahmud,
Negeri Sembilan dari Johor, dan Kelantan pulan mendapat kedaulatan dari
Terangganu. Secara rumusannya, pengasasan kerajaan Melayu Baru memperlihatkan
tampuk pemerintahan diasas oleh keluarga baru yang bukan berasal dari negeri
tersebut dan masing-masing mempunyai kepentingannya dari aspek politik.
Sumbangan Bugis dalam perkembangan politik di Tanah Melayu pada abad ke-18.
Kedatangan awal orang
Bugis di Tanah Melayu adalah sekitar pertengahan dan akhir abad ke-17 di mana
mereka telah menetap di sekitar Linggi, Kuala Selangor, dan Johor. Penguasaan
orang Bugis di Tanah Melayu oleh Lima Daeng Bersaudara iaitu Opu Daeng Parani,
Opu Daeng Marewah, Opu Daeng Menambun, Opu Daeng Chelak, dan Opu Daeng Kemasi
telah memainkan peranan yang penting dalam memperjuangkan pengaruh dan
penguasaan mereka dalam pentadbiran dan sekaligus menyumbang kepada politik di
Tanah Melayu. Penguasaan orang Bugis dalam politik di Tanah Melayu dapat
dilihat di Johor, Perak, Kedah, Linggi, dan Selangor. Di Johor, Daeng Lima
Bersaudara membantu Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan puteranya Raja
Sulaiman untuk merampas takhta daripada Raja Kechil iaitu Sultan Abdul Jalil
Rahmat Shah. Dengan bantuan Bugis lima bersaudara ini, Raja Kechil dapat
dikalahkan dan Raja Sulaiman telah menaiki takhta sebagai Sultan Johor dengan gelaran
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Kenaikan takhta Sultan Sulaiman ini secara
langsung telah mengiktirafkan sumbangan orang Bugis dalam politik di kerajaan
Johor apabila Bugis telah memperkenalkan jawatan Yamtuan Muda yang diberikan
kepada Daeng Marewah. Di Perak pula, sumbangan Bugis terhadap politik bermula
apabila pembesar-pembesar Perak pada abad ke-18 telah meminta bantuan daripada
Daeng Marewah untuk membantu Sultan Perak memerangi abangnya Sultan Alauddin
Mughayat Syah. Penglibatan Bugis di Kedah pula bermula apabila berlakunya
perang saudara antara adik beradik Raja Kedah di mana Raja Kedah yang tua telah
meminta bantuan Bugis untuk mengalahkan Raja Muda. Dengan bantuan Bugis, Raja
Tua Kedah berjaya mengalahkan Raja Muda dan memberikan habuan kepada Bugis
kerana telah membantunya mengalahkan Raja Muda. Manakala di Selangor pula,
penglibatan Bugis bermula apabila mereka membantu Putera Raja Kedah untuk
menaiki takhta sebagai Sultan Kedah. Pertapakan mereka dikukuhkan lagi apabila
pada tahun 1766 Raja Lumu ditabalkan menjadi Sultan Selangor oleh Sultan Perak.
Rumusannya, pengaruh Bugis di Tanah Melayu semakin meluas melalui perkembangan
mereka dalam kuasa pemerintahan di Tanah Melayu yang sekaligus memberikan
sumbangan kepada politik di Tanah Melayu.
Persaingan yang berlaku antara Portugis, Johor, dan Acheh dari pertengahan abad ke-16 sehingga 1641.
Persaingan di antara
Johor, Aceh, dan Portugis mengakibatkan Perang Tiga Segi ini berlaku selama 100
tahun. Ketiga-tiga kuasa ini berebut untuk menguasai jalan perdagangan di Selat
Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, usaha Johor
untuk menguasai semula Melaka daripada Portugis masih berterusan. Oleh itu,
pada tahun 1551, Johor pernah bergabung dengan angkatan Perak, Pahang, dan
Japara (Jawa) untuk menyerang Melaka. Dalam serangan tersebut, Melaka telah
dikepung selama tiga bulan tetapi usaha tersebut gagal menumpaskan Portugis di
Melaka kerana kekebalan Kota A’Famosa
yang merupakan kubu pertahanan portugis dan kelebihan senjata pihak Portugis. Aceh
mula berkembang setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Dasar perdagangan
Portugis di Melaka yang menghapuskan monopoli perdagangan, memperkenalkan
sistem cukai yang ketat, dan melakukan
pelbagai sekatan menyebabkan pedagang Islam dari Benggala, Sri Lanka, Pegu, dan
Turki berpindah ke Aceh. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Aceh
pada ketika itu berjaya menjadikan Aceh sebuah kuasa yang kuat di Gugusan
Kepulauan Melayu. Kemajuan perdagangan dan kebangkitan Aceh ini turut membawa
kepada perluasan kuasa iaitu Aceh telah menyerang Perak pada tahun 1575 dan 1620,
Pahang pada tahun 1617, dan Kedah pada tahun 1619. Selain itu, Aceh juga
menakluki Padir dan Pasai untuk menguasai perdagangan lada hitam. Dengan itu
persaingan di antara Johor, Aceh, dan Portugis memperlihatkan usaha
masing-masing untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka demi kepentingan
masing-masing. Oleh itu berlakunya Perang Tiga Segi di mana Johor menyerang
Portugis kerana ingin merampas semula Melaka dari Portugis manakala Aceh
menyerang Melaka kerana Portugis menghalang perdagangannya dan turut menyerang
Johor kerana kemajuan perdagangan Johor mengancam perdagangannya. Portugis pula
menyerang Johor kerana menganggap Johor berpakat dengan Aceh untuk menyerang
Melaka. Namun begitu, pada tahun 1608 tentera Johor telah membuat pakatan
dengan Belanda untuk menyerang Portugis di Melaka. Tentera Johor yang diketuai
oleh Laksamana Tun Abdul Jamil telah menyerang Melaka dari darat, manakala pihak
tentera Belanda menyerang dari laut. Gabungan tentera Johor dan Belanda ini
akhirnya berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.
Subscribe to:
Posts (Atom)