Abstrak Persaingan Negeri-negeri Melayu
Persaingan di antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu iaitu Perak,
Johor, dan Selangor berlaku pada tahun 1641 sehingga 1795. Persaingan ini
tercetus didorong oleh keinginan Belanda untuk mengawal perdagangan di Selat
Melaka dan memonopoli perniagaan bijih timah. Persaingan antara Perak dengan Belanda
bermula apabila hasrat Belanda yang ingin memonopoli perdagangan bijih timah di
Perak tidak dipersetujui oleh Sultan Muzaffar Syah. Hal ini demikian kerana,
harga yang ditawar oleh Belanda sangat rendah dan hanya menguntungkan pihak
Belanda sahaja. Oleh itu, Perak terus menjual bijih timah kepada saudagar Cina,
Aceh, dan India yang menawarkan harga yang lebih tinggi. Belanda yang tidak
berpuas hati terhadap Perak bertindak melancarkan beberapa siri kepungan dan
serangan ke atas Perak. Persaingan Johor-Belanda pula bermula berikutan
daripada peristiwa rampasan kapal dagang milik British iaitu kapal Betsy.
Persaingan berlaku apabila hasil daripada muatan kapal tersebut tidak
dibahagikan kepada Yamtuan Muda Raja Haji seperti yang telah dijanjikan dalam
perjanjian lalu Raja Haji bertindak memulangkan perjanjian. Tindakan Raja Haji
memulangkan perjanjian tersebut telah mencetuskan kemarahan Belanda dan
bermulalah persaingan di antara Johor dan Belanda yang berterusan sehinggalah
kemangkatan Raja Haji dan digantikan oleh Yamtuan Muda Raja Ali. Manakala,
persaingan di antara Selangor dan Belanda pula bermula apabila Belanda gagal untuk
menguasai bijih timah di Selangor sehingga menyebabkan timbulnya perselisihan
dengan Sultan Ibrahim yang mana Sultan Ibrahim bertindak menyerang Belanda di
Melaka pada tahun 1782. Sultan Ibrahim kemudiannya meminta bantuan Johor iaitu
daripada bapa saudaranya Yamtuan Muda Raja Haji. Namun begitu, serangan
kerjasama antara Johor dan Selangor tidak dapat menewaskan Belanda lalu Sultan
Ibrahim berundur ke Pahang setelah kemangkatan Yamtuan Muda Raja Haji akibat
kalah dengan Belanda. Pada tahun 1785, baginda melancarkan serangan ke atas
Belanda dan berjaya menawan kembali Kuala Selangor namun Belanda telah
bertindak mengepung Kuala Selangor sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim
menandatangani perjanjian dengan Belanda. Akhirnya, persaingan demi persaingan
yang berlaku antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu berakhir apabila
Belanda menyerahkan pentadbiran Melaka kepada British setelah mengalami
kekalahan dalam Perang Napoleon.
Ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu Baru di Tanah Melayu.
Penubuhan kerajaan Melayu Baru di
Tanah Melayu iaitu Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan adalah
pada abad ke-18. Antara ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu
Baru dapat dilihat dari aspek politik di mana masing-masing negeri diasaskan
oleh keluarga baru yang bukan berasal dari anak tempatan negeri tersebut. Di
Terengganu, Tun Zainal Abidin iaitu putera kepada Bendahara Johor Tun Habib
Abdul Majid telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu. Dengan itu, kerajaan
Terengganu bukan sahaja menandakan tamatnya pemerintah sebelum itu, tetapi juga
bermulanya dinasti Bendahara yang menerajui tampuk pemerintahan. Kerajaan baru
Selangor pula muncul setelah kenaikan Raja Lumu di atas takhta kerajaan
Selangor yang menandakan bermulanya pemerintahan kerajaan Selangor daripada
keturunan Bugis. Seterusnya di Negeri Sembilan, jawatan Yang Di-Pertuan pernah
diwarisi oleh beberapa orang anak Raja dari Minangkabau yang dijemput oleh
pembesar-pembesar Negeri Sembilan untuk menerajui pemerintahan. Antaranya ialah
Raja Kasah, Raja Adil, dan Raja Hitam namun masing-masing gagal untuk
mengasaskan kesultanan Negeri Sembilan sehinggalah kenaikan Raja Lenggang di
atas takhta kerajaan Negeri Sembilan yang menandakan bermulanya pengasasan
Kesultanan Negeri Sembilan. Manakala, di Kelantan pengasasnya ialah Long Yunus
yang berketurunan keluarga bangsawan Patani. Penglibatan bangsawan patani dalam
politik Kelantan dan kemudiannya mengambil alih teraju pemerintahan Kelantan
didorong oleh ikatan perkahwinan oleh
pemerintah sebelumnya. Setelah menamatkan pemerintahan Long Muhammad iaitu
daripada keturunan Tuan Sulong, Long Yunus akhirnya Berjaya menaiki takhta
kerajaan Kelantan sekaligus merupakan pengasas kerajaan Kelantan. Dari aspek
pengiktirafan juga merupakan ciri penting dalam pembentukan Kerajaan Melayu
Baru. Hal ini demikian kerana, pengiktirafan dan kedaulatan kerajaan baru yang
ditubuhkan adalah dari negeri-negeri yang berlainan yang mana Terengganu
mendapat kedaulatan dari Patani, Selangor pula dari Perak oleh Sultan Mahmud,
Negeri Sembilan dari Johor, dan Kelantan pulan mendapat kedaulatan dari
Terangganu. Secara rumusannya, pengasasan kerajaan Melayu Baru memperlihatkan
tampuk pemerintahan diasas oleh keluarga baru yang bukan berasal dari negeri
tersebut dan masing-masing mempunyai kepentingannya dari aspek politik.
Sumbangan Bugis dalam perkembangan politik di Tanah Melayu pada abad ke-18.
Kedatangan awal orang
Bugis di Tanah Melayu adalah sekitar pertengahan dan akhir abad ke-17 di mana
mereka telah menetap di sekitar Linggi, Kuala Selangor, dan Johor. Penguasaan
orang Bugis di Tanah Melayu oleh Lima Daeng Bersaudara iaitu Opu Daeng Parani,
Opu Daeng Marewah, Opu Daeng Menambun, Opu Daeng Chelak, dan Opu Daeng Kemasi
telah memainkan peranan yang penting dalam memperjuangkan pengaruh dan
penguasaan mereka dalam pentadbiran dan sekaligus menyumbang kepada politik di
Tanah Melayu. Penguasaan orang Bugis dalam politik di Tanah Melayu dapat
dilihat di Johor, Perak, Kedah, Linggi, dan Selangor. Di Johor, Daeng Lima
Bersaudara membantu Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan puteranya Raja
Sulaiman untuk merampas takhta daripada Raja Kechil iaitu Sultan Abdul Jalil
Rahmat Shah. Dengan bantuan Bugis lima bersaudara ini, Raja Kechil dapat
dikalahkan dan Raja Sulaiman telah menaiki takhta sebagai Sultan Johor dengan gelaran
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Kenaikan takhta Sultan Sulaiman ini secara
langsung telah mengiktirafkan sumbangan orang Bugis dalam politik di kerajaan
Johor apabila Bugis telah memperkenalkan jawatan Yamtuan Muda yang diberikan
kepada Daeng Marewah. Di Perak pula, sumbangan Bugis terhadap politik bermula
apabila pembesar-pembesar Perak pada abad ke-18 telah meminta bantuan daripada
Daeng Marewah untuk membantu Sultan Perak memerangi abangnya Sultan Alauddin
Mughayat Syah. Penglibatan Bugis di Kedah pula bermula apabila berlakunya
perang saudara antara adik beradik Raja Kedah di mana Raja Kedah yang tua telah
meminta bantuan Bugis untuk mengalahkan Raja Muda. Dengan bantuan Bugis, Raja
Tua Kedah berjaya mengalahkan Raja Muda dan memberikan habuan kepada Bugis
kerana telah membantunya mengalahkan Raja Muda. Manakala di Selangor pula,
penglibatan Bugis bermula apabila mereka membantu Putera Raja Kedah untuk
menaiki takhta sebagai Sultan Kedah. Pertapakan mereka dikukuhkan lagi apabila
pada tahun 1766 Raja Lumu ditabalkan menjadi Sultan Selangor oleh Sultan Perak.
Rumusannya, pengaruh Bugis di Tanah Melayu semakin meluas melalui perkembangan
mereka dalam kuasa pemerintahan di Tanah Melayu yang sekaligus memberikan
sumbangan kepada politik di Tanah Melayu.
Persaingan yang berlaku antara Portugis, Johor, dan Acheh dari pertengahan abad ke-16 sehingga 1641.
Persaingan di antara
Johor, Aceh, dan Portugis mengakibatkan Perang Tiga Segi ini berlaku selama 100
tahun. Ketiga-tiga kuasa ini berebut untuk menguasai jalan perdagangan di Selat
Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, usaha Johor
untuk menguasai semula Melaka daripada Portugis masih berterusan. Oleh itu,
pada tahun 1551, Johor pernah bergabung dengan angkatan Perak, Pahang, dan
Japara (Jawa) untuk menyerang Melaka. Dalam serangan tersebut, Melaka telah
dikepung selama tiga bulan tetapi usaha tersebut gagal menumpaskan Portugis di
Melaka kerana kekebalan Kota A’Famosa
yang merupakan kubu pertahanan portugis dan kelebihan senjata pihak Portugis. Aceh
mula berkembang setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Dasar perdagangan
Portugis di Melaka yang menghapuskan monopoli perdagangan, memperkenalkan
sistem cukai yang ketat, dan melakukan
pelbagai sekatan menyebabkan pedagang Islam dari Benggala, Sri Lanka, Pegu, dan
Turki berpindah ke Aceh. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Aceh
pada ketika itu berjaya menjadikan Aceh sebuah kuasa yang kuat di Gugusan
Kepulauan Melayu. Kemajuan perdagangan dan kebangkitan Aceh ini turut membawa
kepada perluasan kuasa iaitu Aceh telah menyerang Perak pada tahun 1575 dan 1620,
Pahang pada tahun 1617, dan Kedah pada tahun 1619. Selain itu, Aceh juga
menakluki Padir dan Pasai untuk menguasai perdagangan lada hitam. Dengan itu
persaingan di antara Johor, Aceh, dan Portugis memperlihatkan usaha
masing-masing untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka demi kepentingan
masing-masing. Oleh itu berlakunya Perang Tiga Segi di mana Johor menyerang
Portugis kerana ingin merampas semula Melaka dari Portugis manakala Aceh
menyerang Melaka kerana Portugis menghalang perdagangannya dan turut menyerang
Johor kerana kemajuan perdagangan Johor mengancam perdagangannya. Portugis pula
menyerang Johor kerana menganggap Johor berpakat dengan Aceh untuk menyerang
Melaka. Namun begitu, pada tahun 1608 tentera Johor telah membuat pakatan
dengan Belanda untuk menyerang Portugis di Melaka. Tentera Johor yang diketuai
oleh Laksamana Tun Abdul Jamil telah menyerang Melaka dari darat, manakala pihak
tentera Belanda menyerang dari laut. Gabungan tentera Johor dan Belanda ini
akhirnya berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.
Tempoh 1699-1722 penting dalam perkembangan Johor-Riau.
Kemangkatan Sultan Mahmud Shah II pada
tahun 1699 tanpa meninggalkan waris merupakan pengakhiran keturunan daripada
Kesultanan Melayu Melaka. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II, maka
bermulalah pemerintahan daripada keturunan Bendahara bagi kerajaan Johor.
Bendahara Abdul Jalil diangkat menjadi Sultan Johor dan digelar Sultan Abdul
Jalil Riayat Shah IV. Dalam tempoh ini, kerajaan Johor telah mengalami beberapa
cabaran dan transformasinya ke arah perkembangan kerajaan.
Tempoh 20 tahun yang telah memutuskan
jurai Kesultanan dan digantikan dengan jurai Bendahara telah memberi kesan
kepada pentadbiran kerajaan Johor. Tuntutan takhta daripada Putera Siak iaitu
Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal Sultan Mahmud Shah II
yang layak ke atas takhta Johor telah membawa pengaruh Bugis ke Johor. Raja
Kecil menuntut takhta daripada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan meminta
bantuan daripada orang Bugis untuk menaiki takhta dengan menjanjikan pelantikan
orang Bugis sebagai Yang Dipertuan Muda Johor. Tambahan pula, kedatangan Raja
Kecil pada ketika itu telah mendapat sokongan daripada Orang Laut. Namun
begitu, pada tahun 1717, Raja Kecil terlebih dahulu menyerang Sultan Abdul
Jalil dan pada tahun 1718 takhta kerajaan Johor telah dirampas oleh Raja Kecil
dan mengangkat dirinya sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil
Rahmat Shah.
Selepas Raja Kecil menaiki takhta, Bugis
telah menuntut janji untuk dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda namun Raja
Kecil tidak memperkenankan permintaan Bugis kerana Bugis tidak memberi sebarang
bantuan kepada Raja Kecil. Rentetan daripada itu, Bugis yang tidak berpuas hati
dengan Raja Kecil telah membantu bekas Bendahara Abdul Jalil dan anaknya Raja
Sulaiman untuk mendapatkan semula takhta. Pada tahun 1722, Raja Sulaiman iaitu
putera kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV berjaya menaiki takhta atas
bantuan Daeng Lima Bersaudara. Dengan itu, pemerintahan Raja Kecil hanyalah
selama 4 tahun. Raja Sulaiman dilantik menjadi Sultan dan bergelar Sultan
Sulaiman Badrul Alam Shah.
Sungguhpun Sultan Sulaiman merupakan Sutan
Johor, namun kuasa pemerintahan adalah di bawah orang Bugis iaitu Daeng Marewah
merupakan orang pertama yang telah dilantik menjadi Yang Dipertuan Muda. Maka
dengan itu, jawatan ini kemudiannya diwariskan dalam kalangan keturunan Bugis
sekaligus membawa perubahan yang besar kepada kerajaan Johor.
Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka
Kesultanan Melayu Melaka telah diasas oleh Parameswara atau
Raja Iskandar Syah pada sekitar abad ke-14. Selepas kejatuhan kerajaan
Srivijaya yang berpusat di Palembang, Parameswara telah melarikan diri sehingga
ke Melaka setelah Palembang ditakluki oleh Majapahit. Baginda kemudiannya
menjadikan Melaka sebagai kerajaan baru setelah melihat Melaka berpotensi untuk
dijadikan sebagai sebuah kerajaan. Penubuhan kerajaan Melaka ini telah
menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju khususnya pada zaman kegemilangan
Kesultanan Melayu Melaka ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah pada tahun 1456
hingga 1477. Pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka ini sesungguhnya dipengaruhi
oleh beberapa faktor.
Antara faktor yang menyumbang kepada pengukuhan Kesultanan
Melayu Melaka adalah melalui aspek politik iaitu hubungan diplomatik antara
Melaka dengan China. Hubungan antara Melaka dengan China telah terjalin sejak
awal pengasasan Melaka lagi. Seawal T.M 1403, Laksamana Yin Qing telah melawat
Melaka bagi menawarkan persahabatan dari negeri China. Berikutan dengan lawatan
tersebut, Parameswara telah memohon perlindungan daripada China memandangkan
China merupakan sebuah kuasa besar serta mampu memberi perlindungan kepada
Melaka terutamanya ancaman daripada Siam yang masih giat untuk membalas dendam
ke atas Parameswara yang telah membunuh dan merampas kuasa dari Temagi di
Singapura dahulu. Hubungan Melaka dengan China seterusnya semakin kukuh
terjalin apabila lawatan China yang seterusnya disusuli oleh Laksamana Cheng Ho
pada T.M 1406 dan 1409. Kedatangan beliau dengan membawa pengiktirafan Maharaja
Yung Lo ke atas Parameswara sebagai raja dan pemerintah Melaka disertakan
dengan sekaki payung berwarna kuning, pakaian kebesaran, dan sebuah cap mohor
menunjukkan China berminat untuk membantu perkembangan Melaka sekaligus
memantapkan lagi pengukuhan terhadap Melaka.
Selain itu, penerimaan agama Islam turut menjadi faktor
penyumbang dalam pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka. Setelah Mahkota Iskandar
Syah iaitu Raja Kedua Melaka memeluk agama Islam, beberapa pembaharuan telah
dilaksanakan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan dan kesejahteraan
rakyatnya. Pengaruh agama Islam telah mengukuhkan lagi peluasan perdagangan dan
juga hubungan antarabangsa. Hal ini demikian kerana, Melaka bukan sahaja
merupakan pusat perdagangan para pedagang Islam, tetapi turut menjadi pusat
pendakwahan dan perkembangan agama Islam. Hal ini turut mendorong lebih ramai
pedagang-pedagang Islam datang ke Melaka. Tambahan pula, pedagang-pedagang
asing yang berdagang di Melaka berkemungkinan berkahwin dengan gadis-gadis
Melaka sekaligus memeluk agama Islam. Oleh itu, pertambahan penduduk di Melaka
semakin meningkat dan majoritinya orang Melayu. Penerimaan agama Islam bukan
sahaja membawa kebaikan dan keuntungan kepada Melaka, tetapi turut membantu
akan kemakmuran dan kemasyhuran serta mengukuhkan lagi pentadbiran Kesultanan
Melayu Melaka.
Tuntasnya, kekukuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka
sememangnya dipengaruhi oleh beberapa faktor sama ada dari aspek politik,
ekonomi, mahupun sosial. Tambahan pula, kebijaksanaan pemimpin dalam memerintah
kerajaan Melaka telah membawa kepada pembangunan pesat kerajaan Melaka sebagai
pelabuhan entrepot sekaligus menjadikan Melaka sebagai sebuah empayar yang
terunggul dan agung pada abad ke-15 hingga awal abad ke-16.
Tugasan Microsoft Power Point
Okay, hari ni saya share slide tugasan untuk Power Point iaitu Hari Kantin Sekolah bagi course MTE3012.
Tugasan Microsoft Excel
Yang ini ialah tugasan memasukkan markah peperiksaan tahunan dan graf peratusan gred menggunakan Microsoft Excel. Bagi yang tidak mahir menggunakan Excel memang akan cakap susah nii. Tapiiiii, kita boleh belajar kan.. haaa. Boleh belajar nanti kalau ambik course Kompetensi Teknologi Maklumat. Tak pun ambik kursus komputer kat luar. Hehehe~ Nak tengok ni boleh tarik ke kanan dan ke kiri okay :)
Tugasan Microsoft Word
Okay, yang ini ialah tugasan membuat sijil menggunakan Microsoft Word dengan menggunakan teknik 'mail merge' untuk mengisi nama-nama pelajar tetapi yang di bawah hanyalah contoh sijil yang telah saya buat.
Haa nampak tak Logo sekolah tu? Jangan tanya pulak kenapa nama sekolah tu macam tu. Tiada jawapan untuk itu. Ehehehe~ Rindu bak hang sekolah lama dulu. Dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 6 kita ni menimba ilmu di situ.
Subscribe to:
Posts (Atom)