Persaingan di antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu iaitu Perak,
Johor, dan Selangor berlaku pada tahun 1641 sehingga 1795. Persaingan ini
tercetus didorong oleh keinginan Belanda untuk mengawal perdagangan di Selat
Melaka dan memonopoli perniagaan bijih timah. Persaingan antara Perak dengan Belanda
bermula apabila hasrat Belanda yang ingin memonopoli perdagangan bijih timah di
Perak tidak dipersetujui oleh Sultan Muzaffar Syah. Hal ini demikian kerana,
harga yang ditawar oleh Belanda sangat rendah dan hanya menguntungkan pihak
Belanda sahaja. Oleh itu, Perak terus menjual bijih timah kepada saudagar Cina,
Aceh, dan India yang menawarkan harga yang lebih tinggi. Belanda yang tidak
berpuas hati terhadap Perak bertindak melancarkan beberapa siri kepungan dan
serangan ke atas Perak. Persaingan Johor-Belanda pula bermula berikutan
daripada peristiwa rampasan kapal dagang milik British iaitu kapal Betsy.
Persaingan berlaku apabila hasil daripada muatan kapal tersebut tidak
dibahagikan kepada Yamtuan Muda Raja Haji seperti yang telah dijanjikan dalam
perjanjian lalu Raja Haji bertindak memulangkan perjanjian. Tindakan Raja Haji
memulangkan perjanjian tersebut telah mencetuskan kemarahan Belanda dan
bermulalah persaingan di antara Johor dan Belanda yang berterusan sehinggalah
kemangkatan Raja Haji dan digantikan oleh Yamtuan Muda Raja Ali. Manakala,
persaingan di antara Selangor dan Belanda pula bermula apabila Belanda gagal untuk
menguasai bijih timah di Selangor sehingga menyebabkan timbulnya perselisihan
dengan Sultan Ibrahim yang mana Sultan Ibrahim bertindak menyerang Belanda di
Melaka pada tahun 1782. Sultan Ibrahim kemudiannya meminta bantuan Johor iaitu
daripada bapa saudaranya Yamtuan Muda Raja Haji. Namun begitu, serangan
kerjasama antara Johor dan Selangor tidak dapat menewaskan Belanda lalu Sultan
Ibrahim berundur ke Pahang setelah kemangkatan Yamtuan Muda Raja Haji akibat
kalah dengan Belanda. Pada tahun 1785, baginda melancarkan serangan ke atas
Belanda dan berjaya menawan kembali Kuala Selangor namun Belanda telah
bertindak mengepung Kuala Selangor sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim
menandatangani perjanjian dengan Belanda. Akhirnya, persaingan demi persaingan
yang berlaku antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu berakhir apabila
Belanda menyerahkan pentadbiran Melaka kepada British setelah mengalami
kekalahan dalam Perang Napoleon.