Penubuhan kerajaan Melayu Baru di
Tanah Melayu iaitu Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan adalah
pada abad ke-18. Antara ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu
Baru dapat dilihat dari aspek politik di mana masing-masing negeri diasaskan
oleh keluarga baru yang bukan berasal dari anak tempatan negeri tersebut. Di
Terengganu, Tun Zainal Abidin iaitu putera kepada Bendahara Johor Tun Habib
Abdul Majid telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu. Dengan itu, kerajaan
Terengganu bukan sahaja menandakan tamatnya pemerintah sebelum itu, tetapi juga
bermulanya dinasti Bendahara yang menerajui tampuk pemerintahan. Kerajaan baru
Selangor pula muncul setelah kenaikan Raja Lumu di atas takhta kerajaan
Selangor yang menandakan bermulanya pemerintahan kerajaan Selangor daripada
keturunan Bugis. Seterusnya di Negeri Sembilan, jawatan Yang Di-Pertuan pernah
diwarisi oleh beberapa orang anak Raja dari Minangkabau yang dijemput oleh
pembesar-pembesar Negeri Sembilan untuk menerajui pemerintahan. Antaranya ialah
Raja Kasah, Raja Adil, dan Raja Hitam namun masing-masing gagal untuk
mengasaskan kesultanan Negeri Sembilan sehinggalah kenaikan Raja Lenggang di
atas takhta kerajaan Negeri Sembilan yang menandakan bermulanya pengasasan
Kesultanan Negeri Sembilan. Manakala, di Kelantan pengasasnya ialah Long Yunus
yang berketurunan keluarga bangsawan Patani. Penglibatan bangsawan patani dalam
politik Kelantan dan kemudiannya mengambil alih teraju pemerintahan Kelantan
didorong oleh ikatan perkahwinan oleh
pemerintah sebelumnya. Setelah menamatkan pemerintahan Long Muhammad iaitu
daripada keturunan Tuan Sulong, Long Yunus akhirnya Berjaya menaiki takhta
kerajaan Kelantan sekaligus merupakan pengasas kerajaan Kelantan. Dari aspek
pengiktirafan juga merupakan ciri penting dalam pembentukan Kerajaan Melayu
Baru. Hal ini demikian kerana, pengiktirafan dan kedaulatan kerajaan baru yang
ditubuhkan adalah dari negeri-negeri yang berlainan yang mana Terengganu
mendapat kedaulatan dari Patani, Selangor pula dari Perak oleh Sultan Mahmud,
Negeri Sembilan dari Johor, dan Kelantan pulan mendapat kedaulatan dari
Terangganu. Secara rumusannya, pengasasan kerajaan Melayu Baru memperlihatkan
tampuk pemerintahan diasas oleh keluarga baru yang bukan berasal dari negeri
tersebut dan masing-masing mempunyai kepentingannya dari aspek politik.