Persaingan di antara
Johor, Aceh, dan Portugis mengakibatkan Perang Tiga Segi ini berlaku selama 100
tahun. Ketiga-tiga kuasa ini berebut untuk menguasai jalan perdagangan di Selat
Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, usaha Johor
untuk menguasai semula Melaka daripada Portugis masih berterusan. Oleh itu,
pada tahun 1551, Johor pernah bergabung dengan angkatan Perak, Pahang, dan
Japara (Jawa) untuk menyerang Melaka. Dalam serangan tersebut, Melaka telah
dikepung selama tiga bulan tetapi usaha tersebut gagal menumpaskan Portugis di
Melaka kerana kekebalan Kota A’Famosa
yang merupakan kubu pertahanan portugis dan kelebihan senjata pihak Portugis. Aceh
mula berkembang setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Dasar perdagangan
Portugis di Melaka yang menghapuskan monopoli perdagangan, memperkenalkan
sistem cukai yang ketat, dan melakukan
pelbagai sekatan menyebabkan pedagang Islam dari Benggala, Sri Lanka, Pegu, dan
Turki berpindah ke Aceh. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Aceh
pada ketika itu berjaya menjadikan Aceh sebuah kuasa yang kuat di Gugusan
Kepulauan Melayu. Kemajuan perdagangan dan kebangkitan Aceh ini turut membawa
kepada perluasan kuasa iaitu Aceh telah menyerang Perak pada tahun 1575 dan 1620,
Pahang pada tahun 1617, dan Kedah pada tahun 1619. Selain itu, Aceh juga
menakluki Padir dan Pasai untuk menguasai perdagangan lada hitam. Dengan itu
persaingan di antara Johor, Aceh, dan Portugis memperlihatkan usaha
masing-masing untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka demi kepentingan
masing-masing. Oleh itu berlakunya Perang Tiga Segi di mana Johor menyerang
Portugis kerana ingin merampas semula Melaka dari Portugis manakala Aceh
menyerang Melaka kerana Portugis menghalang perdagangannya dan turut menyerang
Johor kerana kemajuan perdagangan Johor mengancam perdagangannya. Portugis pula
menyerang Johor kerana menganggap Johor berpakat dengan Aceh untuk menyerang
Melaka. Namun begitu, pada tahun 1608 tentera Johor telah membuat pakatan
dengan Belanda untuk menyerang Portugis di Melaka. Tentera Johor yang diketuai
oleh Laksamana Tun Abdul Jamil telah menyerang Melaka dari darat, manakala pihak
tentera Belanda menyerang dari laut. Gabungan tentera Johor dan Belanda ini
akhirnya berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.