Abstrak Persaingan Negeri-negeri Melayu

Persaingan di antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Johor, dan Selangor berlaku pada tahun 1641 sehingga 1795. Persaingan ini tercetus didorong oleh keinginan Belanda untuk mengawal perdagangan di Selat Melaka dan memonopoli perniagaan bijih timah. Persaingan antara Perak dengan Belanda bermula apabila hasrat Belanda yang ingin memonopoli perdagangan bijih timah di Perak tidak dipersetujui oleh Sultan Muzaffar Syah. Hal ini demikian kerana, harga yang ditawar oleh Belanda sangat rendah dan hanya menguntungkan pihak Belanda sahaja. Oleh itu, Perak terus menjual bijih timah kepada saudagar Cina, Aceh, dan India yang menawarkan harga yang lebih tinggi. Belanda yang tidak berpuas hati terhadap Perak bertindak melancarkan beberapa siri kepungan dan serangan ke atas Perak. Persaingan Johor-Belanda pula bermula berikutan daripada peristiwa rampasan kapal dagang milik British iaitu kapal Betsy. Persaingan berlaku apabila hasil daripada muatan kapal tersebut tidak dibahagikan kepada Yamtuan Muda Raja Haji seperti yang telah dijanjikan dalam perjanjian lalu Raja Haji bertindak memulangkan perjanjian. Tindakan Raja Haji memulangkan perjanjian tersebut telah mencetuskan kemarahan Belanda dan bermulalah persaingan di antara Johor dan Belanda yang berterusan sehinggalah kemangkatan Raja Haji dan digantikan oleh Yamtuan Muda Raja Ali. Manakala, persaingan di antara Selangor dan Belanda pula bermula apabila Belanda gagal untuk menguasai bijih timah di Selangor sehingga menyebabkan timbulnya perselisihan dengan Sultan Ibrahim yang mana Sultan Ibrahim bertindak menyerang Belanda di Melaka pada tahun 1782. Sultan Ibrahim kemudiannya meminta bantuan Johor iaitu daripada bapa saudaranya Yamtuan Muda Raja Haji. Namun begitu, serangan kerjasama antara Johor dan Selangor tidak dapat menewaskan Belanda lalu Sultan Ibrahim berundur ke Pahang setelah kemangkatan Yamtuan Muda Raja Haji akibat kalah dengan Belanda. Pada tahun 1785, baginda melancarkan serangan ke atas Belanda dan berjaya menawan kembali Kuala Selangor namun Belanda telah bertindak mengepung Kuala Selangor sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim menandatangani perjanjian dengan Belanda. Akhirnya, persaingan demi persaingan yang berlaku antara Belanda dengan negeri-negeri Melayu berakhir apabila Belanda menyerahkan pentadbiran Melaka kepada British setelah mengalami kekalahan dalam Perang Napoleon.