Ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu Baru di Tanah Melayu.

Penubuhan kerajaan Melayu Baru di Tanah Melayu iaitu Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan adalah pada abad ke-18. Antara ciri-ciri penting dalam pembentukan kerajaan Melayu Baru dapat dilihat dari aspek politik di mana masing-masing negeri diasaskan oleh keluarga baru yang bukan berasal dari anak tempatan negeri tersebut. Di Terengganu, Tun Zainal Abidin iaitu putera kepada Bendahara Johor Tun Habib Abdul Majid telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu. Dengan itu, kerajaan Terengganu bukan sahaja menandakan tamatnya pemerintah sebelum itu, tetapi juga bermulanya dinasti Bendahara yang menerajui tampuk pemerintahan. Kerajaan baru Selangor pula muncul setelah kenaikan Raja Lumu di atas takhta kerajaan Selangor yang menandakan bermulanya pemerintahan kerajaan Selangor daripada keturunan Bugis. Seterusnya di Negeri Sembilan, jawatan Yang Di-Pertuan pernah diwarisi oleh beberapa orang anak Raja dari Minangkabau yang dijemput oleh pembesar-pembesar Negeri Sembilan untuk menerajui pemerintahan. Antaranya ialah Raja Kasah, Raja Adil, dan Raja Hitam namun masing-masing gagal untuk mengasaskan kesultanan Negeri Sembilan sehinggalah kenaikan Raja Lenggang di atas takhta kerajaan Negeri Sembilan yang menandakan bermulanya pengasasan Kesultanan Negeri Sembilan. Manakala, di Kelantan pengasasnya ialah Long Yunus yang berketurunan keluarga bangsawan Patani. Penglibatan bangsawan patani dalam politik Kelantan dan kemudiannya mengambil alih teraju pemerintahan Kelantan didorong oleh ikatan perkahwinan  oleh pemerintah sebelumnya. Setelah menamatkan pemerintahan Long Muhammad iaitu daripada keturunan Tuan Sulong, Long Yunus akhirnya Berjaya menaiki takhta kerajaan Kelantan sekaligus merupakan pengasas kerajaan Kelantan. Dari aspek pengiktirafan juga merupakan ciri penting dalam pembentukan Kerajaan Melayu Baru. Hal ini demikian kerana, pengiktirafan dan kedaulatan kerajaan baru yang ditubuhkan adalah dari negeri-negeri yang berlainan yang mana Terengganu mendapat kedaulatan dari Patani, Selangor pula dari Perak oleh Sultan Mahmud, Negeri Sembilan dari Johor, dan Kelantan pulan mendapat kedaulatan dari Terangganu. Secara rumusannya, pengasasan kerajaan Melayu Baru memperlihatkan tampuk pemerintahan diasas oleh keluarga baru yang bukan berasal dari negeri tersebut dan masing-masing mempunyai kepentingannya dari aspek politik.