Tempoh 1699-1722 penting dalam perkembangan Johor-Riau.

     Kemangkatan Sultan Mahmud Shah II pada tahun 1699 tanpa meninggalkan waris merupakan pengakhiran keturunan daripada Kesultanan Melayu Melaka. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II, maka bermulalah pemerintahan daripada keturunan Bendahara bagi kerajaan Johor. Bendahara Abdul Jalil diangkat menjadi Sultan Johor dan digelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Dalam tempoh ini, kerajaan Johor telah mengalami beberapa cabaran dan transformasinya ke arah perkembangan kerajaan.
         
Tempoh 20 tahun yang telah memutuskan jurai Kesultanan dan digantikan dengan jurai Bendahara telah memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan Johor. Tuntutan takhta daripada Putera Siak iaitu Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal Sultan Mahmud Shah II yang layak ke atas takhta Johor telah membawa pengaruh Bugis ke Johor. Raja Kecil menuntut takhta daripada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan meminta bantuan daripada orang Bugis untuk menaiki takhta dengan menjanjikan pelantikan orang Bugis sebagai Yang Dipertuan Muda Johor. Tambahan pula, kedatangan Raja Kecil pada ketika itu telah mendapat sokongan daripada Orang Laut. Namun begitu, pada tahun 1717, Raja Kecil terlebih dahulu menyerang Sultan Abdul Jalil dan pada tahun 1718 takhta kerajaan Johor telah dirampas oleh Raja Kecil dan mengangkat dirinya sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
     
Selepas Raja Kecil menaiki takhta, Bugis telah menuntut janji untuk dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda namun Raja Kecil tidak memperkenankan permintaan Bugis kerana Bugis tidak memberi sebarang bantuan kepada Raja Kecil. Rentetan daripada itu, Bugis yang tidak berpuas hati dengan Raja Kecil telah membantu bekas Bendahara Abdul Jalil dan anaknya Raja Sulaiman untuk mendapatkan semula takhta. Pada tahun 1722, Raja Sulaiman iaitu putera kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV berjaya menaiki takhta atas bantuan Daeng Lima Bersaudara. Dengan itu, pemerintahan Raja Kecil hanyalah selama 4 tahun. Raja Sulaiman dilantik menjadi Sultan dan bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Sungguhpun Sultan Sulaiman merupakan Sutan Johor, namun kuasa pemerintahan adalah di bawah orang Bugis iaitu Daeng Marewah merupakan orang pertama yang telah dilantik menjadi Yang Dipertuan Muda. Maka dengan itu, jawatan ini kemudiannya diwariskan dalam kalangan keturunan Bugis sekaligus membawa perubahan yang besar kepada kerajaan Johor.