Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka telah diasas oleh Parameswara atau Raja Iskandar Syah pada sekitar abad ke-14. Selepas kejatuhan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang, Parameswara telah melarikan diri sehingga ke Melaka setelah Palembang ditakluki oleh Majapahit. Baginda kemudiannya menjadikan Melaka sebagai kerajaan baru setelah melihat Melaka berpotensi untuk dijadikan sebagai sebuah kerajaan. Penubuhan kerajaan Melaka ini telah menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju khususnya pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah pada tahun 1456 hingga 1477. Pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka ini sesungguhnya dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Antara faktor yang menyumbang kepada pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka adalah melalui aspek politik iaitu hubungan diplomatik antara Melaka dengan China. Hubungan antara Melaka dengan China telah terjalin sejak awal pengasasan Melaka lagi. Seawal T.M 1403, Laksamana Yin Qing telah melawat Melaka bagi menawarkan persahabatan dari negeri China. Berikutan dengan lawatan tersebut, Parameswara telah memohon perlindungan daripada China memandangkan China merupakan sebuah kuasa besar serta mampu memberi perlindungan kepada Melaka terutamanya ancaman daripada Siam yang masih giat untuk membalas dendam ke atas Parameswara yang telah membunuh dan merampas kuasa dari Temagi di Singapura dahulu. Hubungan Melaka dengan China seterusnya semakin kukuh terjalin apabila lawatan China yang seterusnya disusuli oleh Laksamana Cheng Ho pada T.M 1406 dan 1409. Kedatangan beliau dengan membawa pengiktirafan Maharaja Yung Lo ke atas Parameswara sebagai raja dan pemerintah Melaka disertakan dengan sekaki payung berwarna kuning, pakaian kebesaran, dan sebuah cap mohor menunjukkan China berminat untuk membantu perkembangan Melaka sekaligus memantapkan lagi pengukuhan terhadap Melaka.

Selain itu, penerimaan agama Islam turut menjadi faktor penyumbang dalam pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka. Setelah Mahkota Iskandar Syah iaitu Raja Kedua Melaka memeluk agama Islam, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan dan kesejahteraan rakyatnya. Pengaruh agama Islam telah mengukuhkan lagi peluasan perdagangan dan juga hubungan antarabangsa. Hal ini demikian kerana, Melaka bukan sahaja merupakan pusat perdagangan para pedagang Islam, tetapi turut menjadi pusat pendakwahan dan perkembangan agama Islam. Hal ini turut mendorong lebih ramai pedagang-pedagang Islam datang ke Melaka. Tambahan pula, pedagang-pedagang asing yang berdagang di Melaka berkemungkinan berkahwin dengan gadis-gadis Melaka sekaligus memeluk agama Islam. Oleh itu, pertambahan penduduk di Melaka semakin meningkat dan majoritinya orang Melayu. Penerimaan agama Islam bukan sahaja membawa kebaikan dan keuntungan kepada Melaka, tetapi turut membantu akan kemakmuran dan kemasyhuran serta mengukuhkan lagi pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka.

Tuntasnya, kekukuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka sememangnya dipengaruhi oleh beberapa faktor sama ada dari aspek politik, ekonomi, mahupun sosial. Tambahan pula, kebijaksanaan pemimpin dalam memerintah kerajaan Melaka telah membawa kepada pembangunan pesat kerajaan Melaka sebagai pelabuhan entrepot sekaligus menjadikan Melaka sebagai sebuah empayar yang terunggul dan agung pada abad ke-15 hingga awal abad ke-16.