Sumbangan Bugis dalam perkembangan politik di Tanah Melayu pada abad ke-18.

Kedatangan awal orang Bugis di Tanah Melayu adalah sekitar pertengahan dan akhir abad ke-17 di mana mereka telah menetap di sekitar Linggi, Kuala Selangor, dan Johor. Penguasaan orang Bugis di Tanah Melayu oleh Lima Daeng Bersaudara iaitu Opu Daeng Parani, Opu Daeng Marewah, Opu Daeng Menambun, Opu Daeng Chelak, dan Opu Daeng Kemasi telah memainkan peranan yang penting dalam memperjuangkan pengaruh dan penguasaan mereka dalam pentadbiran dan sekaligus menyumbang kepada politik di Tanah Melayu. Penguasaan orang Bugis dalam politik di Tanah Melayu dapat dilihat di Johor, Perak, Kedah, Linggi, dan Selangor. Di Johor, Daeng Lima Bersaudara membantu Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan puteranya Raja Sulaiman untuk merampas takhta daripada Raja Kechil iaitu Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Dengan bantuan Bugis lima bersaudara ini, Raja Kechil dapat dikalahkan dan Raja Sulaiman telah menaiki takhta sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Kenaikan takhta Sultan Sulaiman ini secara langsung telah mengiktirafkan sumbangan orang Bugis dalam politik di kerajaan Johor apabila Bugis telah memperkenalkan jawatan Yamtuan Muda yang diberikan kepada Daeng Marewah. Di Perak pula, sumbangan Bugis terhadap politik bermula apabila pembesar-pembesar Perak pada abad ke-18 telah meminta bantuan daripada Daeng Marewah untuk membantu Sultan Perak memerangi abangnya Sultan Alauddin Mughayat Syah. Penglibatan Bugis di Kedah pula bermula apabila berlakunya perang saudara antara adik beradik Raja Kedah di mana Raja Kedah yang tua telah meminta bantuan Bugis untuk mengalahkan Raja Muda. Dengan bantuan Bugis, Raja Tua Kedah berjaya mengalahkan Raja Muda dan memberikan habuan kepada Bugis kerana telah membantunya mengalahkan Raja Muda. Manakala di Selangor pula, penglibatan Bugis bermula apabila mereka membantu Putera Raja Kedah untuk menaiki takhta sebagai Sultan Kedah. Pertapakan mereka dikukuhkan lagi apabila pada tahun 1766 Raja Lumu ditabalkan menjadi Sultan Selangor oleh Sultan Perak. Rumusannya, pengaruh Bugis di Tanah Melayu semakin meluas melalui perkembangan mereka dalam kuasa pemerintahan di Tanah Melayu yang sekaligus memberikan sumbangan kepada politik di Tanah Melayu.