Persaingan yang berlaku antara Portugis, Johor, dan Acheh dari pertengahan abad ke-16 sehingga 1641.

Persaingan di antara Johor, Aceh, dan Portugis mengakibatkan Perang Tiga Segi ini berlaku selama 100 tahun. Ketiga-tiga kuasa ini berebut untuk menguasai jalan perdagangan di Selat Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, usaha Johor untuk menguasai semula Melaka daripada Portugis masih berterusan. Oleh itu, pada tahun 1551, Johor pernah bergabung dengan angkatan Perak, Pahang, dan Japara (Jawa) untuk menyerang Melaka. Dalam serangan tersebut, Melaka telah dikepung selama tiga bulan tetapi usaha tersebut gagal menumpaskan Portugis di Melaka kerana kekebalan Kota A’Famosa yang merupakan kubu pertahanan portugis dan kelebihan senjata pihak Portugis. Aceh mula berkembang setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Dasar perdagangan Portugis di Melaka yang menghapuskan monopoli perdagangan, memperkenalkan sistem cukai  yang ketat, dan melakukan pelbagai sekatan menyebabkan pedagang Islam dari Benggala, Sri Lanka, Pegu, dan Turki berpindah ke Aceh. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Aceh pada ketika itu berjaya menjadikan Aceh sebuah kuasa yang kuat di Gugusan Kepulauan Melayu. Kemajuan perdagangan dan kebangkitan Aceh ini turut membawa kepada perluasan kuasa iaitu Aceh telah menyerang Perak pada tahun 1575 dan 1620, Pahang pada tahun 1617, dan Kedah pada tahun 1619. Selain itu, Aceh juga menakluki Padir dan Pasai untuk menguasai perdagangan lada hitam. Dengan itu persaingan di antara Johor, Aceh, dan Portugis memperlihatkan usaha masing-masing untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka demi kepentingan masing-masing. Oleh itu berlakunya Perang Tiga Segi di mana Johor menyerang Portugis kerana ingin merampas semula Melaka dari Portugis manakala Aceh menyerang Melaka kerana Portugis menghalang perdagangannya dan turut menyerang Johor kerana kemajuan perdagangan Johor mengancam perdagangannya. Portugis pula menyerang Johor kerana menganggap Johor berpakat dengan Aceh untuk menyerang Melaka. Namun begitu, pada tahun 1608 tentera Johor telah membuat pakatan dengan Belanda untuk menyerang Portugis di Melaka. Tentera Johor yang diketuai oleh Laksamana Tun Abdul Jamil telah menyerang Melaka dari darat, manakala pihak tentera Belanda menyerang dari laut. Gabungan tentera Johor dan Belanda ini akhirnya berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.